Sunday, July 15, 2012

新闻分享:SEMAK KEPUTUSAN TAWARAN KE USM MULAI 13/7/2012


PULAU PINANG, 13 Jul – Lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/Doploma/Setaraf A-Level/IB yang telah memohon untuk kemasukan ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sidang akademik 2012/2013 boleh menyemak keputusan masing-masing mulai hari ini jam 12.00 tengahari di laman web USM di https:pohon.usm.my.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, semua pelajar yang mendapat tawaran USM diwajibkan membuat pengesahan menerima tawaran melalui laman web https:pohon.usm.my dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 13 hingga 22 Julai 2012 sebelum jam 12.00 tengah malam.
Katanya, bagi calon-calon yang membuat permohonan melalui saluran alternatif, semakan boleh dibuat di laman web https:pohon.usm.my/alternatif.
``Calon yang mendapat tawaran berganda di USM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) penyelidikan yang lain disarankan untuk memilih hanya satu IPTA sahaja.
``Pihak Universiti menyarankan calon-calon yang terpilih menyertai USM sebagai universiti APEX dan bersama menggembleng usaha untuk menuju ke destinasi iaitu ke puncak kecemerlangan,’’ ujarnya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambah Omar, bagi calon yang gagal mendapat tempat di USM, mereka boleh membuat rayuan melalui aplikasi E-Rayuan yang dibuka mulai 13 Julai 2012 (Jumaat) jam 12.00 tengahari di laman web yang sama.
``Hanya calon yang telah memohon dan gagal mendapat sebarang tawaran dari USM sahaja yang dibenarkan mengemukakan rayuan dalam tenpoh 10 hari selepas keputusan rasmi dikeluarkan. Rayuan juga hanya terbuka kepada calon yang telah menghadiri temuduga (untuk program temuduga).
``Tarikh tutup rayuan adalah pada 22 Julai 2012 jam 12.00 tengah malam manakala keputusan rayuan akan diumumkan secara rasmi pada 13 Ogos 2012,’’ tambah beliau.
Omar turut berkata, sejumlah 14,222 calon telah memohon untuk mengikuti sidang pengajian di USM bagi sidang akademik 2012/2013 dan daripada jumlah itu, 12,627 calon telah mencapai kelayakan minimum serta memenuhi syarat kemasukan ke USM.
Katanya, USM telah memilih seramai 4745 calon meliputi 3249 bagi Kampus Induk Pulau Pinang, 928 di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan 568 di Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan.
Tambah beliau, calon-calon dipilih melalui beberapa saluran utama meliputi saluran perdana, program pendidikan dan saluran alternatif.
``USM turut menawarkan tempat untuk lapan atlet cemerlang sukan negara dan 14 calon orang kelainan upaya (OKU) yang menepati syarat untuk melanjutkan pengajian,’’ jelas beliau.
Dalam pada itu, USM turut membuka talian hotline 1 300 888 876, talian terus 04-6533196 serta emeladmissions@usm.my untuk memberi laluan kepada sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut dari pihak yang terlibat.

No comments: